SELENDANG DELIMA (1958)
Hikayat Selendang Delima
Dikarang Oleh: Mohamad Nazri Ahmad
Watak Utama:
- Abdullah Chik sebagai Bang Segara
- Maria Menado sebagai Sri Banian
- Latifah Omar sebagai Putri Bungsu
- M.Amin sebagai Dewa Laksana
- Selendang Delima
Jalan cerita berdasarkan filem Selendang Delima(1958)
Sekembalinya menuntut ilmu di Gunung Ledang, Bang Segara
(Putra Raja) negerinya telah menjadi "padang jarak padang terkukur"
apabila diserang Burung Geruda. Bang Segara hanya menemui adindanya (Sri
Banian). Raja dan hamba rakyat hilang ghaib ketika pergi mencari Burung Geruda
untuk dibunuh.
Sebelum meninggalkan Sri Banian, Raja telah memasukkannya ke
dalam peti dan hanya boleh keluar apabila ayahandanya itu tidak pulang selama
tujuh hari. Kerana keadaan negeri tidak selamat dan Burung Geruda masih
bermaharajalela, Bang Segara dan Sri Banian mengambil keputusan meninggalkan
negeri tersebut pergi ke negeri lain. Dalam pada itu, di kayangan Dewa Laksana
diperintahkan ayahandanya membunuh Burung Geruda. Tapi dalam perjalanan dia
bertemu dan terpikat dengan kejelitaan Sri Banian lalu jatuh cinta.
Dewa Laksana kemudian memasukkan dirinya ke dalam buah
delima yang mana ditemui dan dimakan Sri Banian yang menyebabkan dia
mengandung. Dengan memakan buah delima itu sahlah Sri Banian menjadi isteri
Dewa Laksana. Apabila melahirkan anak perempuan, Sri Banian memasukkannya
ke dalam peti atas permintaan Dewa Laksana dan mewasiatkan pada Bang Segara
supaya membawanya ke mana saja dia pergi. Dengan ketiadaan Sri Banian, Bang
Segara pergi seorang diri.
Sampai di negeri Benua Puri, Bang Segara telah menyelamatkan
Datuk Bendahara dari angkara anak Raja (Mahmood June yang berang kerana tidak
diwasiatkan sebagai Raja) serta pengikut-pengikutnya. Ini membuatkan Datuk Bendahara terhutang budi dan meminta
Bang Segara tinggal menetap di negeri tersebut sambil mencadangkan supaya dia
menyertai pertandingan mematahkan pedang Gajah Putih sebagai memenuhi wasiat
Raja yang baru saja mangkat.
Sesiapa saja berjaya mematahkan pedang tersebut dialah yang
berhak menjadi Raja dan berkahwin dengan kesemua tujuh putri Baginda. Bang Segara berjaya dan kemudian melantik Putri Bungsu
sebagai Raja Permaisuri. Sepeninggalan Raja pergi belayar mengziarahi rakyat
Baginda di beberapa negeri, isteri-isteri Baginda (kecuali Putri Bungsu) telah
mencurigai apa yang terkandung dalam peti yang diamanahkan pada Putri Bongsu
oleh Raja jangan membukannya.
Kerana curiga yang melampau (oleh isteri Baginda yang enam)
akhirnya peti tersebut dibuka dan alangkah terperanjatnya mereka apabila
mendapati didalamnya tersimpan seorang anak gadis (Selendang Delima). Ini membuatkan salah seorang isteri Baginda (Norsiah Yem)
begitu cemburu dan marah mahu membunuhnya tapi dihalangan Putri Bongsu. Dan
kerana mahu terus mendera Selendang Delima isteri Raja yang bengis dan garang
itu menyatakan kesanggupan memeliharanya.
Sepulangnya menjalankan tugas, Baginda terpesona bila mendengar syair yang di dendangkan Selendang Delima yang mana kemudian didapati anak gadis yang didera itu adalah anak saudaranya, anak Sri Banian yang bersuamikan Dewa Laksana.
Raja murka apabila mendapati anak saudaranya itu didera tapi
untuk menemui ayahbondanya, Selendang Delima merayu pada Raja supaya pergi ke
sebuah gua yang terletak di pulau berhampiran.
Di sana Selendang Delima memuja rotan dan batu yang mana
kemudian menjelmakan ayahbondanya, Dewa Laksana dan Sri Banian. Menurut Dewa
Laksana, mereka di sumpah menjadi rotan dan batu kerana kemurkaan ayahandanya
(sebab berfoya-foya dengan Sri Banian) dan hanya Selendang Delima saja yang boleh
menghapuskan sumpahan tersebut. Disebabkan kekejaman yang dilakukan enam isteri Raja muka
mereka bertukar menjadi hodoh tapi atas permintaan Selendang Delima wajah
mereka kembali seperti sediakala.
Dewa Laksana yang belum lagi menyelesaikan tugasnya, pergi
menunaikan tanggungjawabnya membunuh Burung Geruda yang masih mengganas
berbekalkan panah sakti.
PERBANDINGAN DI ANTARA FILEM DENGAN HIKAYAT
Babak 1: Burung Geruda menyerang Badan Pirus
Penceritaan daripada hikayat (halaman 1-3)
Pada suatu hari, segala raja, menteri, hulubalang, rakyat, bala tentera sekalian telah berdatang sembah katanya, "Daulat Tuanku Syah Alam, diharapkan beribu-ribu ampun Kebawah Duli yang mulia. Patik sekalian datang hendak memberitahu bahawa burung geruda telah datang menyerang negeri kita, tuanku."
Setelah baginda mendengar sembah tersebut, maka wajah baginda pun berubahlah, dan kelihatan pucat pada ketika itu juga. Di dalam hati baginda menjadi sangat gelisah. Apabila dilihat oleh segala raja, menteri, hulubalang, rakyat sekalian, mereka pun berdatang sembah, "Apakah gerangan titah duli tuanku, patik sekalian akan mengerjakannya."
Maka baginda pun bertitah, "Wahai segala raja, menteri, hulubalang, rakyat, bala tentera! Sekarang pergilah kamu sekalian membuka gedung besi untuk membuat kota dan memperkukuhkan negeri kita ini."
Maka segala raja dan menteri sekalian pun menyembah lalu pergilah membuka gedung besi. Diambilnya beribu-ribu pikul besi, lalu diperbuatnya kota. Baru sahaja kota itu siap, burung geruda itu pun datanglah. Apabila baginda melihat hal yang sedemikian, baginda pun berfikirlah, "Akan datang bala yang sangat besar dan betapa halku dan kedua-dua anakandaku ini?"
Maka baginda pun bertitah kepada isterinya, "wahai adinda, apa bicara tuan, burung Geruda sudah datang ke mari. Baiklah kita sembunyikan kedua-dua anakanda itu ke dalam peti."
Isteri baginda pun menyetujuinya. maka kedua-dua anakanda baginda itu pun dimasukkan ke dalam peti, tanpa diketahui oleh mereka. Kemudian baginda suami isteri pun bersemayamlah di istana. Ketika baginda bersemayam itu, maka burung geruda itu pun datanglah menyambar baginda suami isteri dan dibawa entah ke mana. Maka sekalian rakyat pun datanglah berlari-lari dengan segala alat senjatanya ketika mereka melihat baginda suami isteri diterbangkan oleh burung geruda. Maka orang banyak pun gemparlah. mereka berlari ke sana ke mari sambil memegang senjatanya hendak melawan burung geruda itu.
Maka burung geruda itu menyambar pula sekalian rakyat yang berada di situ. Habislah seluruh isi negeri itu disambar oleh burung geruda yang besar itu. Adapun burung geruda itu menyambar isi negeri itu selama tujuh hari tujuh malam. Maka tiadalah lagi rakyat negeri itu yang tinggal lagi. Setelah itu, burung geruda itu terbanglah ke udara pergi entah ke mana.
Penceritaan daripada filem
Perbezaan antara filem dan hikayat
Filem
|
Hikayat
|
1- Baginda
Tuanku Syah Alam mentitahkan supaya membunuh Burung Geruda tersebut.
|
1. Baginda Tuanku Syah Alam mentitahkan supaya membuka
gedung besi untuk membina kota dan memperkukuhkan lagi negeri mereka.
|
2-
Baginda Tuanku Syah Alam tidak
mempunyai isteri.
|
2. Baginda Tuanku
Syah Alam mempunyai isteri.
|
3- Baginda
Tuanku Syah Alam hanya menyembunyikan Sri Banian ke dalam peti.
|
3. Baginda Tuanku Syah Alam menyembunyikan kedua-dua
anakandanya ke dalam peti.
|
Babak 2: Selendang Delima Dilahirkan
Penceritaan daripada hikayat (halaman 10-15)
Pada suatu hari, Sri Banian telah pergi mandi ke dalam Taman Ratna Baiduri. Setelah sudah mandi dia pun bersalin pakaian. Tiba-tiba dia terpandang banyak bunga-bunga berkembang di dalam jambangan dan buah delima yang sudah banyak masak. Sri Banian pun memetik buah delima itu lalu dimakannya. Sesudah dia habis memakan buah delima itu, barulah dia teringat pesanan kakandanya. Dia pun menyesali dirinya. Hatinya terlalu sangat susah dan dadanya bagaikan hancur. Kemudian dia pun pulanglah ke istananya.
Maka hari pun hampir senja, Bang Sagara pun pulanglah ke istananya lalu menikmati hidangan dengan adindanya. Pada satu malam Sri Banian telah tidur. Dia pun bermimpi melihat bulan sedang naik lalu menyentuh dagunya. Sri Banian pun terjaga daripada tidurnya. Dia pun terasa dirinya sudah hamil "sudahlah memang nasibku memang begini" keluh Sri Banian.
Tersebutlah akan buah delima yang telah dimakan oleh Sri Banian itu telah menjelma di dalamnya Dewa Laksana. Dia telah menjelmakan dirinya menjadi buah delima yang berada di dalam Taman Puspa Ratna itu.
Sri Banian pun berpesan kepada kakandanya, ''Wahai Kakanda,buatkanlah adinda sebuah peti.'' ''Baiklah''. Maka peti yang diminta Sri Banian itu pun dibuatkan oleh Bang Sagara. Setelah siap diberikannya peti itu kepada Sri Banian.
Sepeningalan Bang Sagara, Sri Banian pun berasa terlalu sangat sakitnya. Dia pun melahirkan anak perempuan. Setelah sudah beranak itu, lalu dimandikan dan disusukan anakandanya itu. Kemudian dipeluk, dicium serta ditangisnya anakandanya itu. Beberapa pakaian yang indah-indah telah dilapiskan kepada anakandanya itu, lengkap dengan alat-alatnya sekali. Setelah itu dimasukkannya anakandanya itu ke dalam peti.
Setelah sudah dimasukkan ke dalam peti, maka Seri Banian pun berpesan kepada anakandanya Selendang Delima. "Jikalau anakanda berasa dalam kesusahan, hendaklah tuan pesani minta ambilkan di Pulau Bindu batu dan rotan. Disana ada Bonda taruhkan rotan dan batu. itulah yang mesti anakanda minta ambilkan. Jika dapat batu dan rotan, tuan buatkan buaian dan pesanan Bonda ini janganlah tuan lupakan. Batu dan rotan itulah ayahanda dan bonda tuan."
Penceritaan daripada Filem
Perbezaan antara filem dan hikayat
Filem
|
Hikayat
|
|
1- Sri Banian
terpandang sebiji buah delima, serta buah delima tersebut adalah jelmaan Dewa
Laksana.
|
1. Sri Banian terpandang banyak bunga-bunga yang berkembang dan
terdapat banyak buah delima yang telah masak.
|
|
2- Setelah Sri Banian
memakan buah delima tersebut, dia terdengar suara Dewa Laksana yang
mengatakan bahawa Sri Banian adalah miliknya, lalu Sri Banian pengsan. Dan
dia dibawa ke kayangan.
|
2. Setelah Sri Banian memakan buah delima dia teringat akan
pesanan kekandanya (Bang Segara) lalu Sri Banian pulang ke istananya.
|
|
3- Sri Banian
membaluti tubuh anaknya dengan sehelai kain pemberian daripada Dewa Laksana.
|
3. Sri Banian meletakkan beberapa pakaian yang cantic serta
lengkap dengan alat-alatnya sekali.
|
Babak 3: Ayahanda dan Bonda Selendang Delima menjelma
Penceritaan daripada hikayat (Halaman 61-66)
Maka Selendang Delima pun berjalanlah seorang diri lalu naik ke balai seri. Setelah sampai di istana, batu dan rotan itu dibawanya juga. Kemudian dia pun berpantun bermadah dan bernyanyi. Dengan takdir Tuhan Azza wa jalla, sebaik habis Selendang Delima berdendang, maka menjelmalah ayahandanya dan bondanya lalu dipeluk, diciumnya Selendang Delima dengan ratap tangisnya.
Seketika dua laki isteri itu duduk meratapi anakandanya, Raja Bang Sagara pun datanglah. Dewa Laksana dua laki isteri pun memberi hormat kepada kakanda, lalu duduk menyembah kedua-dua laki isteri itu, maka segera disambut oleh baginda kedua-dua adindanya itu. Hatta baginda pun naiklah ke istana. Maka titah baginda, "silakan tuan adinda kedua naik ke istana."
Maka baginda pun tahulah akan perbuatan keenam-enam isterinya itu, maka baginda pun terlalulah murkanya, merah padam warna muka baginda di dalam hati baginda hendak sahaja membunuh Puteri Berenam itu. Tetapi tidak diberi oleh Selendang Delima sembahnya, "Ampun tuanku paduka ayahanda, akan Puteri Berenam itu bukannnya dihukum bunuh, melainkan patik tahu juga akan hukuman untuk Puteri Berenam itu."
Maka titah baginda, "Wahai anakanda buah hati ayahanda yang mana hukuman sesuka hati anakandalah, supaya puas hati ayahanda." Hatta Selendang Delima pun memanggil Puteri Berenam. Maka datanglah Puteri Berenam lalu disesah oleh Selendang Delima dengan rotan kembar tiga itu sepuas-puas hatinya.
Setelah sudah Selendang Delima pun berkata, "kini rasakan oleh kamu sekalian yang telah membuat angkara kepadaku. Inilah ku balas kepada engkau sekalian."
Penceritaan daripada filem
Perbezaan antara filem dan hikayat
Filem
|
Hikayat
|
1- Selendang Delima
masuk ke sebuah gua di pulau Bindu bersama Bang Sangara dan 7 orang puteri.
|
1. Selendang Delima pun berjalanlah seorang diri lalu naik ke
balai seri.
|
2- Seledang Delima
memuja rotan dan batu untuk mengembalikan orang tuanya.
|
2. Selendang delima berpantun, bermadah dan menyanyi.
|
3- Dewa Laksana
menghukum Puteri Berenam itu dengan menukarkan muka mereka bertukar hodoh.
|
3. Selendang Delima memukul Puteri Berenam itu dengan rotan
kembar tiga.
|
Disediakan Oleh:
1. Siti Nor Aini Basyirah Bt Muhamad
2. Nur Asiah Bt Mohd Roslan
3. Hanan Najihah Bt Azman
4. Nur Ain Bt Mohmad Sidek
5. Nur Haziqah Bt Mahamad Sukeri
Tugasan diberikan oleh:
Encik Oummar Nor Aman Bin Othman
Encik Oummar Nor Aman Bin Othman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan